Hukum Terlepas Lafaz Talak Tanpa Niat



Pernah tak terutama anda suami yang tanpa sengaja dalam keadaan marah (bertengkar dengan isteri) yang tak terkawal dan tanpa sedar terlepas perkataan cerai atau talak dari bibir. Apakah hukum talak tersebut?

Di dalam Mazhab Syafie, talak yang dilafazkan secara sarih (jelas seperti cerai dan talak) dan ditujukan kepada isteri, tetap jatuh meskipun dilafazkan tanpa niat.

Pengecualian diletakkan kepada enam keadaan iaitu orang yang tidur, orang gila, orang sabq al-lisan (terlepas cakap), orang yang menyeru iaitu jika seseorang memiliki isteri bernama Taliq bermaksud orang yang diceraikan, penggunaan lafaz yang tidak difahami dan dipaksa dan mabuk bukan kerana maksiat.

Justeru, dalam Mazhab Syafie, talak yang dijatuhkan ketika marah adalah sah.

Walau bagaimanapun, perlu dilihat dan dijelaskan situasi marah suami itu berada di peringkat mana.

Jika marah itu sifatnya melampau sehingga hilang akal dan perasaan seperti orang gila, maka tidak jatuh talak.

Mengikut jumhurul ulama (termasuk Syafi’iyah), lafaz talak yang diucapkan secara sarih (jelas) seperti di "aku ceraikan engkau" dalam semua keadaan (termasuk ketika marah) di mana akal masih waras dan seorang suami sedar apa yang diucapkan, maka lafaz itu sah.

Jika lafaz talak diucapkan dalam marah, tetapi dia sedar apa yang diucapkan, maka tetap jatuh talaknya.

Menurut pandangan ulama fiqh, Dr Wahbah Zuhaili, marah (ghadhab) ada dua jenis.

Pertama, marah biasa yang tidak sampai menghilangkan kesedaran atau akal sehingga seseorang itu masih menyedari ucapan atau tindakannya.

Kedua, marah teramat sangat sehingga seseorang hilang kesedaran atau akal yang mengakibatkan dia tidak menyedari lagi ucapan dan tindakannya sehingga mengalami kekacauan.

Golongan fuqaha sepakat, jika suami menjatuhkan talak dalam keadaan marah yang amat sangat (kategori kedua), talaknya tidak jatuh.

Ini kerana ia dianggap mukallaf kerana hilang akalnya (za’il al-aql) seperti orang sedang tidur atau gila yang ucapannya tidak tersandar hukum.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Diangkat pena (taklif) daripada umatku tiga golongan: anak kecil hingga baligh, orang tidur hingga bangun dan orang gila hingga waras.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Namun, fuqaha berbeza pendapat mengenai talak yang diucapkan dalam keadaan marah biasa (talaq al-ghadbaan).

Pertama, menurut ulama Mazhab Hanafi dan sebahagian ulama Mazhab Hambali,
talak seperti itu tidak jatuh.

Kedua, menurut ulama Mazhab Maliki, Hambali dan Syafie, talaknya jatuh.

Pendapat pertama antara lain bersandarkan dalil hadis diriwayatkan Aisyah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Tidak ada talak dan pembebasan hamba dalam keadaan marah (laa thalaqa wa laa ‘ataqa fi ighlaq).” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Dawud, Ibnu Majah)

Pendapat kedua pula, menurut riwayat Mujahid bahawa Ibnu Abbas RA didatangi seorang lelaki yang berkata: “Saya menjatuhkan talak tiga kali ke-pada isteriku dalam keadaan marah.”

Ibnu Abbas menjawab, “Aku tidak boleh menghalalkan untukmu apa yang diharamkan oleh Allah. Kamu menderhakai Allah dan isterimu haram bagimu.” (Riwayat Daruqutni)

Dalam situasi pembaca yang melafazkan talak seperti di atas, marah yang dimaksudkan tetap mempunyai kesan dan tanggungjawab terhadap hukum.

Seperti pendapat fuqaha yang kedua iaitu talak yang dijatuhkan suami dalam keadaan marah tetap jatuh.

Alasannya, hadis daripada Aisyah RA walaupun menyebut talak orang yang marah tidak jatuh, tetapi yang dimaksudkan sebenarnya bukan sekadar marah (marah biasa), melainkan marah yang amat sangat.

Imam Syaukani menukilkan perkataan Ibnu Sayyid, kalau marah dalam hadis itu diertikan dengan marah biasa, tentu tidak tepat.

Ini kerana menurutnya tiada suami yang menjatuhkan talak tanpa marah.

Kesimpulannya, suami yang menjatuhkan talak dalam keadaan marah dianggap tetap jatuh talaknya.

Sebab keadaan marah, ia mempengaruhi keabsahan tasharruf (tindakan hukum) yang dilakukannya, termasuk mengucapkan talak.

Tetapi, jika kemarahannya mencapai tahap marah amat sangat, talaknya tidak jatuh.

Sekiranya suami berpendirian dia benar-benar tidak sedar apa yang dilafazkan ketika itu, maka suami hendaklah membuktikan ketidakwarasan dirinya dengan mengemukakan bukti sama ada daripada pendapat pakar dan sebagainya.

Masalah itu perlu dirujuk dengan segera ke Mahkamah Syariah bagi menentukan kedudukan talak yang dilafazkan.

Penulis adalah peguam syarie

loading...